Secara asasnya, membaca mengandungi dua proses
asas, iaitu ”nyah kod” (decode) dan pemahaman. Proses nyah kod melibatkan
pemahaman tentang hubungan antara
huruf-huruf dan menterjemahkan perkataan tulisan kepada bentuk yang sama dengan bahasa lisan. Oleh
itu, kemahiran nyah kod membolehkan seseorang menyebut perkataan yang ditulis dengan betul. Manakala
poroses pemahaman pula membolehkan
seseorang memahami makna sesuatu perkataan atau makna perkataan mengikut
konteks.
a. Membaca sebagai proses sensori (kederiaan)
- Melibatkan 2 deria iaitu deria penglihatan
dan deria pendengaran.
Deria penglihatan - Proses membaca berlaku
apabila lambang-lambang dilihat dan
disalurkan ke otak untuk diproses bagi mendapat makna sebenar. Bagi individu yang bermasalah
penglihatan (buta) deria penglihatan akan digantikan
dengan deria sentuhan.
Deria pendengaran - Seseorang memerlukan
pendengaran yang baik untuk membolehkannya membaca dengan baik. Seseorang perlu
mendengar dengan baik mesej yang
diterima supaya ia dapat
menghasilkan semula mesej itu dengan jelas dan tepat. Keadaan ini tidak
berlaku kepada individu yang mengalami masalah pendengatan.
b. Membaca sebagai proses pengamatan
- Pengamatan adalah satu proses menimbulkan
makna kepada tugas-tugas panca indera
berdasarkan pengalaman lalu dan pengamatan ini berhubung rapat dengan pemikiran. Dalam bacaan, pengamatan
membolehkan seseorang mengenal
dengan tepat lambang-lambang dan
mengaitkannya dengan bunyi-bunyi dan
juga makna. Pengamatan dalam bacaan
adalah seperti (1) mendiskriminasi iaitu mengecam dan juga membezakan, (2) “figure ground” iaitu mengenal objek-objek,
bentuk, atau corak-corak, (3) ingatan,
iaitu mengingat kembali apa yang dilihat atau didengar, dan (4) turutan, iaitu seperti memahami giliran dan
urutan.
c. Membaca sebagai satu proses bahasa
- Bacaan adalah sebagaian daripada kemahiran
bahasa (language arts) iaitu yang bermula daripada mendengar, bertutur,
membaca, dan seterusnya menulis. Membaca
dapat membantu manusia berkomunikasi dan berhubung sesama mereka melalui sistem lambang-lambang tulisan
yang mereka cipta.
d. Membaca adalah satu proses kognitif
- Membaca
bukan hanya melibatkan proses mekanis tetapi juga melibatkan proses kognitif atau berfikir pada semua peringkat
membaca seperti mengecam, mendiskriminasi, dan memaham. Oleh itu kecerdasan
seseorang akan mempengaruhi kemajuannya
dalam membaca.
0 ulasan:
Catat Ulasan