Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi di atas limpah
dan kurnianya, dapat saya menyiapkan satu tugasan subjek Kemahiran Belajar (GKB
1053) di bawah bimbingan pensyarah daripada Jabatan Teknologi Pendidikan iaitu Encik
Hamzah bin Dollah. Melalui Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan
(PPISMP), saya dan rakan-rakan saya perlu menyiapkan lapan tugasan daripada
subjek-subjek yang berlainan. Alhamdulillah pada 5 September 2014, saya dapat
menyelesaikan tugasan-tugasan daripada subjek GKB1053 iaitu penyediaan blog dan
penghasilan grafik dengan jayanya. Walaupun saya tersepit dengan tujuh tugasan
yang lain, namun berbekalkan semangat yang cekal dan bimbingan daripada
pensyarah dan rakan-rakan tugasan ini dapat diselesaikan.
Pada 1
Julai 2014, saya dan rakan-rakan di bawah unit Pendidikan Pemulihan PPISMP
memulakan kuliah dengan subjek Kemahiran Belajar di dalam sebuah kelas yang
berada di tingkat tiga bangunan Anjung Budiman, IPG Kampus Perempuan Melayu
Melaka. Kami dimaklumkan bahawa subjek ini mempunyai tiga jam kredit iaitu satu
jam pada hari Selasa dan dua jam pada hari Khamis. Subjek ini lebih menekan
kepada kemahiran-kemahiran generik yang perlu diperkembangkan di pusat
pengajian tinggi seperti Institusi Pendidikan Guru. Antara kemahiran generik
yang mesti ditekankan ialah kemahiran belajar, kemahiran berfikir, kemahiran
mentafsir dan menilai serta kemahiran teknologi maklumat. Kemahiran teknologi
maklumat kini sangat penting untuk dipelajari sejajar dengan arus kemodenan
yang dicapai oleh negara kita. Terdapat beberapa kebaikan yang saya peroleh
sepanjang saya mempelajari subjek ini dan menyiapkan tugasan ini.
Antaranya,
saya dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Dalam subjek ini terdapat sembilan bab
yang terdiri daripada Pengenalan Kemahiran Belajar, Pengurusan Pembelajaran,
Kemahiran Perolehan dan Pengurusan Maklumat, Teknik Membaca, Kemahiran
Mengambil Nota dan Membuat Nota, Kemahiran Memproses Maklumat dan Penyediaan
Bahan Bertulis, Aplikasi Penggunaan Perisian Komputer, Sistem Pengurusan
Pembelajaran dan Penyesuaian Sosial. Bab-bab ini sangat berguna untuk saya
sebagai seorang guru pelatih dalam menimba ilmu pengetahuan. Namun begitu,
sesetengah bab dalam subjek ini mengelirukan saya dengan perkataan-perkataan
yang belum pernah saya jumpai. Contohnya, ‘mnemonik’, ‘perkhidmatan indeks dan
abstrak’ dan ‘skimming’. Oleh itu, saya mengambil inisiatif untuk berbincang
dengan rakan-rakan dan berjumpa dengan pensyarah untuk membuat sedikit rujukan.
Selain
itu, saya dapat memudahkan proses pembelajaran. Teknik-teknik dalam subjek ini
banyak berkisar kepada teknik untuk memudahkan seseorang pelajar memperoleh
ilmu pengetahuan dan memudahkan proses mengingat. Contohnya, dalam bab Teknik
Membaca, saya dapat membezakan antara skimming
dan scanning dalam teknik
pembacaan cepat. Selain daripada itu, saya juga dalam menggunakan ilmu
berkenaan cara membuat nota dalam bab Kemahiran Mengambil Nota dan Membuat Nota
seterusnya membentuk nota menggunakan pengetahuan berkaitan alat-alat berfikir
dalam membuat nota. Namun begitu, masa yang sangat padat dalam aktiviti harian
saya sebagai seorang guru pelatih membatas saya mengaplikasikan teknik-teknik
ini dalam pembelajaran saya seperti menghasilkan nota yang sempurna menggunakan
teknik-teknik. Oleh itu, saya telah membina jadual belajar dengan mengkhususkan
masa saya untuk membaca dengan betul dan membuat nota dengan baik.
Di samping itu, saya dapat meningkatkan
kemahiran dalam menggunakan komputer. Tugasan-tugasan yang perlu saya siapkan banyak
melibatkan penggunaan aplikasi dalam komputer seperti Microsoft Office Word, Microsoft Office PowerPoint, Microsoft Office
Publisher dan Microsoft Office Excel Dalam subjek ini, pensyarah saya banyak
mendedahkan ilmu dan pengetahuan berkaitan penggunaan aplikasi dalam komputer
dengan betul. Sebenarnya, saya bukanlah seorang yang celik IT menyebabkan saya
sering berasa risau dan takut untuk menyiapkan tugasan-tugasan yang diberikan
dengan sempurna. Namun, setelah diberikan pendedahan yang baik dan mantap oleh
Encik Hamzah saya berasa yakin dan lebih bersemangat untuk menyiapkan
tugasan-tugasan yang diberi dengan kreatif dan menarik. Oleh itu, saya sering
berusaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan saya berkaitan penggunaan aplikasi
dalam komputer supaya memudahkan kerja-kerja saya yang akan datang.
Seterusnya, saya dapat memupuk semangat
berpasukan. Dalam mempelajari subjek ini, pensyarah saya telah membahagikan
saya dan rakan-rakan kepada beberapa kumpulan kecil untuk membuat pembentangan
berdasarkan bab-bab yang diperoleh dalam kumpulan masing-masing. Bagi
pembentangan pertama, saya mendapat bab tiga iaitu Kemahiran Perolehan dan
Pengurusan Maklumat. Antara ahli kumpulan saya ialah Nurhayati Fadila binti
Ghani dan Siti Munirah binti Mustapha. Bagi pembentangan kedu pula, saya
mendapat tajuk kecil dalam bab lima iaitu cara membuat nota dan alat-alat
berfikir dalam membuat nota dan ahli kumpulan saya ialah Asyiah binti Zolkipli.
Namun begitu, dalam membuat kerja berpasukan saya mengalami sedikit masalah
seperti kekangan masa untuk berbincang. Oleh itu, saya dan ahli pasukan saya
akan merancang masa dengan betul untuk berkumpul dan berbincang bagi menyiapkan
tugasan diberi.
Tambahan pula, saya dapat membina perasaan
yakin di hadapan khalayak umum. Setelah menyiapkan tugasan dalam berpasukan,
saya dan rakan saya perlu melakukan pembentangan di hadapan kelas. Saya
merupakan seorang yang malu dan kurang yakin untuk bercakap di hadapan khalayak
umum. Namun, apabila membuat pembentangan beramai-ramai bersama ahli kumpulan,
saya mendapat keyakinan untuk melontarkan suara saya. Saya juga akan membuat
penyelidikan dan pembacaan yang menyeluruh berkaitan tajuk yang akan
dibentangkan supaya saya berasa lebih bersemangat dan yakin kerana saya tahu
isi-isi yang akan saya bentangkan. Oleh itu, saya mengambil inisiatif untuk
mendapat motivasi daripada rakan-rakan dan pensyarah-pensyarah saya. Hal ini
kerana saya merupakan seorang guru pelatih yang akan mengajar murid-murid di
hadapan kelas.
Akhir
sekali, saya menjadi pandai menghasilkan blog dan penghasilan grafik. Dalam
tugasan ini, saya perlu menyediakan sebuah blog dan sebuah penghasilan grafik.
Selama ini tidak terlintas di fikiran saya untuk menghasilkan sebuah blog. Hal
ini kerana, saya kurang menceburi bidang IT ini. Dalam penghasilan grafik pula,
saya sering menghasilkan grafik yang kurang menarik. Oleh tu, Encik Hamzah
telah mengajar saya berkaitan ilmu asas untuk menghasilkan blog. Setelah itu,
saya dan rakan-rakan meneroka dan berkongsi ilmu untuk menghasilkan blog yang
sangat menarik seperti memasukkan lagu
dan memasukkan gadjet-gadjet yang comel dan menarik. Encik Hamzah juga telah
mendedahkan kepada saya tentang cara-cara menghasilkan pengurusan grafik
menggunakan Slide Master dan Hyerlink.
Selain itu, beliau juga mengajar cara-cara memasukkan audio dan video
dengan menukarkan audio dan video itu terlebih dahulu menggunakan aplikasi Format Factory dan Audacity 1.3 Beta.